Petikan satu surat pembaca di sebuah akhbar (yang dikongsi seorang rakan di sebuah laman sosial).
Wah, rahsianyaaa ;p
SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya   merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan   salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju   ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika   menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan   yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.
Dalam  tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah  menjawat  jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain  di  universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya berhak  untuk  menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor  tidak  pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun  Kementerian  Pengajian Tinggi.
Bulan April adalah bulan yang paling  ditakuti oleh para pensyarah  universiti IPTA kerana penilaian prestasi  (KPI) mereka akan dinilai.  Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu  mementingkan "rangking  dunia," maka ramai (sebahagian besar pensyarah)  ini akan mendapat markah  di bawah prestasi 80 markah kerana gagal  menerbitkan jurnal bertaraf  antarabangsa (ISI).
Masalah  ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat wajib  untuk  permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah  yang  menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa   pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang   bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah   ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang   kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh   negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia   yang lain.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang  kakitangan awam Malaysia,  KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih  malang lagi nasib ini menimpa  kepada pensyarah yang berada dalam bidang  sains sosial yang kajian dan  penyelidikan mereka benar-benar terbatas  kepada mempertahankan maruah  dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah,  sastera dan kebudayaan Melayu  yang kita sedia maklum tidak pernah  dihargai atau mendapat pengiktirafan  kuasa penjajah.
Jika  hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan   pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya   dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-jurnal   yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan yang lain.   Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat   berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur   dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan.   Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu   seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan   bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras   "malas" atau "sakit" sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi   dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti   membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada   beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.
Perkara kedua  ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana  sepanjang 30 tahun  saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak  pernah melalui  penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya  lihat begitu  drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru  cemerlang)  yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji  bergred DG52  (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau  DG48  sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred  DS45,  mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih   rendah daripada itu.
Lebih malang lagi ialah, sebahagian  besar pensyarah bergred DS45 ini  merupakan bekas-bekas guru yang  berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingakan  dengan rakanrakan guru  mereka yang berada di sekolah atau di Institut  Pendidikan Guru (IPG)  atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah  ini seperti sengaja  dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan  dengan guru-guru  sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti),  dengan pengalaman  kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred  DG48/DG44.
Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah  dan guna tenaga kerja  kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan  supaya gred gaji pensyarah  tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52  (atau setara dengan tingkat  gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD  dinaiktaraf ke Gred DS54 dan  begitulah seterusnya. Situasi ini akan  dapat menunjukkan status dan  kedudukan pensyarah di mata dunia  setanding usaha memartabatkan golongan  profesional.
Secara  peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada  zaman ini  adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini  terpaksa  berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat  menekan.  Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang  terpaksa  berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya  ilmu.  Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang  tinggi  sebagai satu usaha persaingan yang sihat.
Malangnya, semua  usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan  impian Malaysia  untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak  pernah dihargai.  Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB  Dato' Khalid  Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan  pensyarah IPTA  berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu  bersungguhsungguh  membela nasib guru.
Sepanjang saya berkhidmat sebagai  seorang pensyarah pelawat di Amerika,  hal-hal sebegini tidak berlaku.  Penilaian prestasi (KPI) seseorang  pensyarah dinilai kepada sebanyak  mana mereka menyumbangkan ilmu dan  kepakaran mereka kepada masyarakat.  Sumbangan mereka menulis untuk  penerbitan berkala, akhbar, majalah  mahupun buku cerita kanak-kanak amat  dihargai kerana para pensyarah itu  dikatakan milik masyarakat.
Penerbitan jurnal berwazit  dan bertaraf ISI hanya satu hambatan  penerbitan untuk tujuan  mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna,  pensyarah yang berada di  Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat  dan mereka amat  dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat.  Situasi ini tidak  berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar  penerbitan ISI,  mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan  atau menjadi  kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar  "rangking" dunia universiti, adakah ini yang  diinginkan oleh KPT? Kita  perlu sedar bahawa untuk menandingi atau  menyaingi Univesiti Havard,  Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana  universiti terbaik dunia bukan  satu usaha mudah. Kita sepatutnya  berfikir seperti mana cara orang  Jepun berfikir, iaitu jangan  tergila-gila merebut status universiti  terbaik dunia tetapi berfikir  bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada  di dalam sesebuah universiti  itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia  dengan menggunakan sepenuh  tenaga dan kepakaran yang ada.
Universiti  of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil  ketiga  terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok  ke-100  dalam "rangking" dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada  Akademi  Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun  Melayu  Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi  Pengajian  Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih  fungsi  Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian  sebaliknya  yang difikirkan ialah "kegilaan" mengejar "rangking" dunia  tanpa pernah  mengukur pakaian pada badan sendiri.
Kepada KPT,  khususnya YAB Dato' Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan dan  nasib para  pensyarah yang akan membawa impian dan nama university  tempatan ke  mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta  (IPTS) yang  menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah  sebenarnya lebih  berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat  penyelidikan,  menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka  juga menjadi  milik masyarakat.
Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang  setara upahnya dengan guru jika  beban tugas yang terpaksa dipikul itu  lebih berat? Beberapa bulan lalu,  dalam ruangan "Surat Pembaca" Berita  Harian, jawapan oleh Unit  Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang  Profesor Pencen amat  melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai  di KPT hanya  memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah  seorang  pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan  professor atau  pengarah di universiti?
Apakah ertinya  pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar  pensyarah dengan  kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh  universiti?  Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university  mempunyai  kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip   kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa   autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?
Akhirnya, sebagai  seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai  apa-apa kepentingan  terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah  menikmati kesemuanya itu.  Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib  golongan pensyarah ini  kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi  hebat negara dan  generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan  kepimpinan  negara.
Seperti yang selalu saya suarakan di dalam  mesyuarat dengan anggota  senat-senat universiti bahawa sudah sampai  masanya pihak KPT berfikir  seperti mana cara orang Jepun berfikir,  iaitu memastikan bangsa mereka  berada di baris hadapan tanpa membunuh  jati diri bangsa. Budaya  mengarifi falsafah Melayu "kera di hutan  disusukan; anak mati dalam  pelukan" perlu difahami sebaik-baiknya.
Wajarkah  rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah  warga  Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan  apaapa  dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib   pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah   muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun   lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak   penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama   juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebagai  penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat  memikirkan  kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita  sama-sama dapat  mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan  pensyarah yang  tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun  kebelakangan  ini.
PROFESOR JUSA B,
Kuala Lumpur
 
8 comments:
harap2 terbela lah nasib kita2 bakal pensyarah ni, kan cik ayu?
"bengang jugak kat UPSI ada pensyarah Indonesia..mengajar lebih kurang, gaji kemain hebat..huh!'
Tulah Faza. Besar harapan nih ;p InsyaAllah. Sama-sama la kita doakan.
Word!!!
Klong TOTALLY agree dgn Professor yg amat rendah diri ni.
Pinjam kopi-pes. Biar besarkan sket mata org2 yg ckp keje gomen nih senang.
Silakan kopipes. Bukan senang nak dapat surat yang jelas dan terang tanpa elemen2 panas hati. Kalau i yang karang, konfem! Tak diterbitkan. Hahaha
fuhhh
luahan perasaan yg genuinely honest and upfront.
Jelita - true. Mission accomplished without being too harsh. Well written. : )
mak sgt ktinggalan zmn.hrp nya menteri amik perhatianlah ye..p/s:nox, mak aritu emel si lelaki yg kite mintak sedekah duit scholar drp tuh...i tulis dlm bhsa mlyu, tgk2 dia reply english you.wow.hahah;p
Che Dah - double woww!! tak sangka you.. die pun ade english edukesyen. ;p
Post a Comment